Saturday, November 14, 2009

Memahami Kelebihan dan Kelemahan Pasangan Anda

Memahami Kelebihan dan Kelemahan Pasangan Anda
Oleh: Mohd. Fikri Bin Abd. Rahman

Salam, kuteruskan menggerak tinta ini melakarkan sedikit petua selanjutnya melestarikan kehidupan berumahtangga sinambungan lakaran tinta yang lalu buat pengajaran kita bersama.

Setiap pasangan pasti punyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Tatkala masjid terbina, kita tahu dalamnya terpasak ke bumi dasar kasih dan cinta kedua suami isteri, kita tahu berapa tiang serikah tertegak kukuh menopang kukuhnya rumah itu, beribu-ribu paku melekat di kayu mengukuhkan struktur rumah itu, tahu berapa banyakkah alang-alang mencengkam kukuhnya atap dan bumbung rumah itu, tahu kelemahan rumah itu tanpa perhiasan dan alatan seri dalamnya, lalu digembeling dua tenaga melayari bahtera indah ini melangkah satu demi satu menghiasi kamar indah dalamnya dengan hiasan kasih dan sayang, lengkap-melengkapi kekurangan dalamnya dengan toleransi dan persefahaman agar kasih sayang yang terukir dan terbina subur kekal mewangi sewangi wangian taman firdausi.

Belajar memahami kelebihan dan kekurangan pasangan tiada rugikan kita walau sebesar zarah ianya cuma, bahkan ianya akan menyubur lagi kasih dan sayang kita buat yang tercinta dan lebih kembang dan mengharum semerbak wangian firdausi dek kerna pasangan itu telah faham dan memahami kehendak, keinginan dan apa yang tidak digemari oleh pasangannya. Si suami faham akan isterinya begitulah sebaliknya, tidak timbul di sana syak wasangka yang menyubur merosakkan kesenian rumahtangga itu, bahkan memudahkan syaitan durjana memasangkan jarum memusnahkannya.

Aku teringat semasa mengendalikan satu kes pertikaian rumahtangga melibatkan dua orang "dewasa" berusia sekitar 50-an, sisuami hadir mendapatkan khidmat guamanku kerana isterinya memohon untuk memutuskan ikatan pernikahan yang suci, aku terasa sangat kerdil untuk menasihati orang-orang yang jauh lebih berpengalaman dalam hidup berumahtangga malah menggaram lebih dariku, namun sebagai pengamal undang-undang aku gagahi jua jalankan tanggungjawabku memberi khidmat nasihat guaman buat sisuami.

Kuterjah sejarah perkahwinan mereka, ku dikhabarkan mereka sudah lebih 30 tahun hidup bersama, sejak akhir-akhir ini bermacam ujian dan cabaran mendatangi mereka, punyai 4 orang anak, sulungnya tahun akhir di IPT, keduanya di Poli, ketiga Form 4 dan bongsunya Form 2. Ku termenung sejenak, "bang, apa masalahnya dengan isteri abang?", jawabnya "kami tidak saling bersefahaman, isteri tak menghargai saya lagi, nak "bersama" kena dipaksa, kalau "tak paksa" tak dapat, kadang-kadang macam saya rasa bersama dengan "patung" malah lebih lagi dengan "pelacur", bahkan lebih dari itu, isteri lebih berani keluar dengan lelaki lain yang kaya, berharta dan selalu menghadiahkan perhiasan dan barang cenderahati mahal buat isteri, suami mana yang boleh tahan".

Lamunanku terhenti seketika, astaghfirullah.....masih ada lagi kisah begini di zaman yang serba maju dan canggih begini, masih ada lagi pasangan veteran yang masih tidak memahami kelebihan dan kelemahan pasangannya walau hidup bersama lebih 30 tahun, masih adakah lagi isteri yang seumpama itu tatkala usia di kala senja, bumi kata boleh blah, kubur kata mari lantas ku gagahi memberikan nasihatku buat sisuami, "bersabarlah bang, sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar", apa yang perlu dibuat sekarang ialah kita hendaklah melepaskan isteri dengan cara yang baik sebagaimana yang disyarakkan agar abang tak akan jadi dayus dek kerna tindakan isteri yang sebegitu".

Kuselidiki latarbelakang suami lagi, sebagai seorang ahli bomba pangkat biasa, banyak manalah pendapatan berbanding si Mejar tentera yang menjadi kegilaaan isteri yang telah celaru fikirannya, ahli bomba biasa tak mampu menghadiahkan buat isteri emas permata, membawa isteri dengan kereta mewah, menghadiahkan isteri barangan mewah berjenama, makan dengan isteri di hotel-hotel ternama, semua ini cabaran buat suami yang malang ini kerna beristerikan seorang "ibu" dan "isteri" yang sudah diambang senja tapi masih tidak sedarkan diri dan buta hati, akhirnya pasangan ini dapat berpisah dengan baik secara khulu'(tebus talak) maka berakhirlah khidmat guamanku buat sisuami di situ.

Apa yang aku cuba bawakan kisah ini bagi kita memahami pasangan kita dengan sebaiknya, kita faham sekiranya suami seorang posmen biasa jangan didamba cara hidup seorang pengurus, sisuami dan isteri punyai tanggungjawab dan haruslah mempunyai sifat berpada-pada (qanaah) dan bersyukur kelebihan dan kekurangan masing-masing, andai keduanya memahaminya nescaya kerukunan dan kelestarian rumahtangga akan terus subur dan mewangai setiap masa. Kita memahami tangggungjawab dalam berumahtangga, mentadbir kewangan rumahtangga dan membesar anak-anak adalah tanggungjawab bersama, maka seharusnya keduanya bergandingan dan memikul tanggungjawab ini bersama dan yakinilah ianya adalah amanah yang harus ditunai bersama.

Moga-moga nukilan ini dapat memberi keinsafan dan pengajaran bersama buat kita melayari rumahtangga kita dalam Nur dan Rahmat-Nya sepanjang masa, kita bertemu lagi dalam coretan yang akan datang...

Thursday, November 5, 2009

Memahami percaturan politik di Selangor dan kesannya

Salam, bertemu lagi kita di persada maya ini dan terdetik di hati penulis untuk membicarakan senario politik di Selangor dengan apa yang berlaku akhir-akhir ini dan hubungkaitnya dengan pentadbiran kerajaan PR di Selangor.

Mungkin ada di antara kita masih kaget dengan isu pengangkapan seorang ulama' muda oleh sebuah agensi penguatkusaan di Selangor baru-baru ini tetapi kita mungkin terlupa ini bukannya serangan peluru yang pertama oleh pihak musuh untuk memporak-perandakan kerajaan PR Selangor.

Ada sahabat-sahabat yang bertanya, kenapa saya sangat mempertahankan kerajaan PR Selangor dan agensi penguatkuasaannya, jawapannya mudah ini percaturan politik pihak musuh dan sebagai pemain politik saya melihat dengan cara bacaan politik juga dan bukan apa seperti yang difikirkan oleh sahabat-sahabat.

Untuk memahami dengan jelas kita harus memahami konsep undang-undang perlembagaan, dalam sesebuah negeri Raja atau Sultan adalah ketua kerajaan secara monarki, pentadbiran kerajaan negeri diketui oleh seorang Menteri Besar dan dibantu oleh ahli majlis mesyuaratnya, pengurusan kerajaan negeri diketui oleh seorang Setiausaha Kerajaan Negeri dan di bawahnya organisasi pentadbiran terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan negeri, agensi-agensi dan badan-badan berkanun.

Tentu saudara-saudari belum nampak bacaan saya setakat ini apakah motif penulisan ini diutarakan?. Di bawah pentadbiran kerajaan negeri melalui pentadbiran agama Islam dan adat Istiadat Melayu dipengerusikan oleh DYMM Sultan dan dibantu oleh Exco berkenaan dan YDP Majlis Agama Islam sebagai setiausaha. Maka, apa-apa Enakmen yang telah digubal dan diwartakan telah diperkenankan oleh KDYMM Tuanku Sultan termasuklah isu "Tauliah" mengajar agama di sebuah negeri jelas termaktub peruntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam sesebuah negeri.

Jadi, tidak timbul isu yang dibangkitkan sama ada "Tauliah" itu boleh dipertikaikan, mempertikaikannya seolah-olah kita menghina KDYMM Tuanku Sultan dan kemuliaan DUN tersebut. Sebab itu saya tekankan, jika kita bukan ahli layak bercakap soal perundangan dan perlembagaan, jangan kita bercakap sembarangan takut-takut kita tersilap mengungkapkan kata-kata dan mengundang penghinaan kepada Undang-undang itu sendiri.

Majlis Agama Islam negeri adalah suatu badan yang mengawal polisi pentadbiran undang-undang Islam sesebuah negeri, Jabatan Agama Islam sebagai jabatan yang mentadbir pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang tersebut, melalui agensi penguatkuasaanya dan peruntukan undang-undang yang sedia ada, tindakan penguatkuasaannya adalah sesuatu yang dibenarkan oleh undang-undang.

Saya bawa lagi ke hadapan untuk saudara-saudari perlu faham, Selangor salah sebuah negeri yang ditawan oleh pembangkang selain Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada pilihanraya umum 2008 yang lalu, maknanya Selangor adalah negeri pembangkang sebagai kerajaan. Faham?...JAIS adalah agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan negeri Selangor. Faham...ini bermakna sama ada saudara-saudari setuju atau tidak dengan saya, apa tindakan JAIS sama ada secara restu atau tidak daripada kerajaan Selangor terutamanya EXCO yang menjaga hal ehwal Agama Islam, adalah tindakan kerajaan negeri. Faham?...Soal tindakan itu wajar atau tidak bukan kita yang selayaknya membuat keputusan, kita ada Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan membicarakan kes-kes syariah untuk memutuskan betul atau salah.

Peruntukan undang-undang itu sedia ada di bawah Enakmen, perlaksanaannya mungkin ada kelemahan dan kekurangan tetapi ini bukan menjadi alasan kepada kita untuk menyerang, menghentam dan memaki hamun tindakan penguatkuasaan. Apabila kita menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah di Selangor dan lebih-lebih lagi EXCO Agama, kita menyerang membabi buta tindakan penguatkuasaan, tindakan ini seolah-olah kita mengetuk kepala kita sendiri dengan secara tidak lansung menyerang kerajaan PR Selangor. Faham...Saya mungkin tidak bersetuju kaedah perlaksaanan pengutkusaan, tetapi saya tidak boleh menghentam penguatkuasaannya, apabila saya berbuat demikian secara tak langsung saya akan bersama musuh menyerang kerajaan PR Selangor terutamanya EXCO Agama yang bertanggungjawab di pihak parti saya. Faham?...

Kalau dah faham sebab itu dari awal saya kata jangan tergopoh-gopah menghentam JAIS tanpa menggunakan akal fikiran dan pertimbangan politik yang bijak, musuh bermain politik secara kotor, kita berperang politik bukan berperang dakwah, ada yang kata tak ada akhlak, ini bukan soal akhlak syeikh, ini soal percaturan politik kotor pihak musuh, sebab ilmu politik ini bukan seperti ilmu dakwah yang semua boleh miliki, ilmu politik melalui pengalaman seperti kata TGNA. Bila musuh memasang perangkap untuk memperlekehkan JAIS, ahli jamaah kita turut terpedaya dengan gendang rentak tari musuh menghentam agensi pengutkuasaan dan musuh pun bertepuk tangan, cuba tengok telah berjaya perancangan kita, orang-orang jamaah itu tu menghentam agensi kerajaan PR Selangor, semakin mudah perancangan kita untuk merampas kembali Selangor sebagaimana apa yang dilakukan di Perak.

Saya mungkin muda dengan politik, tetapi darah saya membesar dengan darah politik dan jamaah ini. Sedari kecil saya dibesarkan dengan idola saya TG Haji Yusof Rawa, Alamarhum Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor, TG Nik Abdul Aziz, dan TG Hj Abdul Hadi, saya mengkaji dan mentakwil ilmu politik melalui pengalaman bersama jamaah di peringkat pemuda, mungkin ada yang berkata hang ni kira politik sahaja tak dak benda lain, hampa juga lupa Nabi berpesan "Hendaklah kamu bersama jamaah Islam", nah bukankah berpolitik ini sunnah Nabi.Tanpa politik macam mana Nabi nak tubuh negara Islam Madinah, mentadbir sebuah negara Islam pertama di dunia, menyusun pentadbiran dan kerajaan Islam, membentuk Sahifah Madinah (sebuah undang-undang bertulis pertama di dunia), mengatur angkatan peperangan menentang musuh Allah dan sebagainya lagi.

Perlu dijelaskan di sini, jamaah kita sebahagian daripada kerajaan PR Selangor, apa-apa tindakan agensi di bawah kerajaan negeri sama ada secara restu atau tidak adalah tindakan kerajaan negeri. Sanggupkah kita menikam saudara kita sendiri dengan menghentam agensi kerajaan negeri kita sendiri. Rasionalah wahai sahabat-sahabatku, pertajamkan ilmu politik kita dengan lebih mendalam, jangan kita terperangkap dengan mainan percaturan politik kotor pihak musuh yang bila-bila masa untuk menghancurkan pakatan kita.

Ada mungkin lupa sejarah, sebelum ini musuh kita telah menghantar peluru yang pertama kepada kerajaan PR Selangor untuk menghancurkan pakatan kita, serangan ditujukan kepada parti roket melalui EXCO yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kerajaan tempatan, isu penjualan arak secara terbuka menjadi bola tanggung untuk di"smash" kepada kerajaan PR Selangor, kita terkena. Nasib baik kebijaksanaan YAB MB dapat cool keadaan, musuh kecewa, diciptanya pulak peluru kedua, isu Kuil Hindu, habis kepala lembu diarak simbol bantahan, kebijaksanaan pemimpin PR Selangor sekali berjaya mematahkannya. Sekali lagi musuh kecewa.

Dicipta pulak serangan terbaru tangkapan ulama' oleh agensi penguatkuasaan dengan tujuan bola tanggung yang dilempar akn di"smash" rapat ke kepala EXCO Agama dari jamaah kita. Faham..., sama ada kita rela atau tidak rela, suka tidak suka, kita kena mempertahankan kerajaan PR Selangor dan agensinya dengan apa cara sekalipun. Sanggupkah kita kehilangan Selangor selepas Perak, sahabat-sahabat jawablah sendiri.

Buat yang menghentam saya kerana menyokong JAIS, terima kasih banyak-banyak kerana anda mungkin belum masak dan matang dalam budaya politik kotor, saya tidak kisah dihentam dan dimaki, tapi saya amat sedih sekiranya sahabat-sahabat menyerang agensi kerajaan PR Selangor, akhirnya kerajaan PR Selangor tumbang rebah kembali ke pangkuan musuh. 

Buat sahabat-sahabat yang baru berjinak dengan politik, cuba belajar dan memahami bahawa politik Malaysia ini sangat unik, berlumpur, berkahak, berdaki dan penuh duri. Saya tidak mempertikaikan cara uslub dakwah dan pendekatan yang sahabat-sahabat sangka, tetapi politik secara total berbeza dan sangat berbeza-beza. Ilmu poltik melalui pengalaman, tidak diajar di kampus dan kolej, ilmu politik perlu dirasa bukan secara teori, ilmu politik perlu terjun ke dalam gelanggang politik bukan bercakap teori semata-mata, ilmu politik ada tipu helah bukan perlu nas yang qat'ie. Ilmu politik sentiasa mencari peluang dalam ruang yang sempit, ilmu politik tak dapat di masjid atau surau. Ilmu politik melalui penglibatan kita dengan politik itu sendiri.

Salam tajdid minda ke arah minda MALAYSIA BARU yang SEJAHTERA.

Alor Setar, Kedah.

Wednesday, November 4, 2009

Kedaulatan Undang-Undang & Penguatkuasaan - Peguam menulis

Sering kita terdengar akhir-akhir ini mereka dikalangan "laymen" berusaha menjadi juara dalam isu melibatkan undang-undang sedangkan mereka bukan ahlinya dan tidak memahami dengan mendalam semangat dan roh yang terdapat di dalam Rukunegara "Kedaulatan Undang-Undang".

Ramai orang bercakap dengan emosi mengatakan bahawa mereka di pihak yang benar sedangkan undang-undang tidak menyatakan sedemikian. Justeru itu, maka tindakan begini boleh menyebabkan undang-undang dan pengutkuasaannya akan dipandang lemah oleh mereka yang berpandangan sedemikian.

Kita bercakap di atas landasan keluhuran undang-undang itu sendiri, kenapa dan mengapakan undang-undang digubal dan diwartakan? Apakah pihak legislative yang menggubal undang-undang itu sesuka hati membuat sebarang Akta atau Enakmen tanpa mengambil kira niat (intention) dan perlaksanaannya.

Marilah kita menjadi masyarakat yang terbuka dan bersikap terbuka dengan mengambil kira bahawa tanpa undang-undang dan penguatkuasaan kita akan hidup dalam keadaan caca merba tanpa sebarang garispanduan dan penguatkuasaan.

Saya sangat pelik dengan masyaratkat sekarang apabila tindakan diambil oleh pihak pengutkuasa bagi menguatkuasakan undang-undang semua pihak seolah-olah membela orang yang diambil tindakan, bukannya membela agensi yang cuba menegakkan keluhuran undang-undang itu sendiri.

Apabila agensi pengutkuasaan mengambil tindakan terhadap pertandingan ratu cantik, agensi penguatkuasaan tersebut dihentam dari segenap penjuru, apabila gro ditahan, semua membela gro tersebut, apabila mahkamah memutuskan pesalah yang meminum arak disabitkan dengan sebatan, semua mata mesyarakat simpati membela sipesalah bukannya pihak yang mengutkuasakan undang-undang itu sendiri.

Ini yang terjadi dan sering dialami oleh mereka yang terlibat dengan pengutkuasaan undang-undang. Mereka tidak sama sekali diberi kredit dan penghargaan atas usaha dan tindakan mereka untuk melaksanakan dan mendaulatkan keluhuran undang-undang itu sendiri, apa yang mereka terima hanyalah cacian, kata nista dan tohmahan bahawa agensi pengutkuasaan tidak guna akal, tak berhati perut, tak ikut prosedur, dan macam-macam kata-kata kesat dilemparkan seolah-olah mereka ini tidak tahu membuat kerja mereka, kalau mereka tak buat kerja hampa komplen tak sangga makan gaji buta, makan duit haram, dan macam-macam lagi yang tidak enak didengar oleh telinga.

Bersifat waraslah wahai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan, percayalah tanpa undang-undang dan pengutkuatkuasaan nescaya kita akan hidup dalam keadaan haru biru, huru hara dan kacau bilau, malah ketenteraman awam dan kemanan tidak akan terjamin.

Tanpa merujuk kepada mana-mana tindakan pengutkuasaan, penulis merasakan sudah tiba masanya kita membuka minda ke arah bahtera perubahan yang "sebenar" bahawa kebatilan tidak boleh disorok dan akhirnya akan terserlah dihadapan mata kita, terbukalah mendengar penjelasan kedua-dua pihak yang terlibat sama ada agensi pengutkusaan mahupun mereka yang diambil tindakan, bukannya membabi buta menyebelahi satu pihak tanpa mendengar penjelasan dari suatu pihak yang lain.

Kedaulatan undang-undang tidak akan dapat ditegakkan, keluhurannya tidak dapat dilaksanakan, sekiranya hati dan jiwa kita sangat prejudis kepada penguatkuasaannya. Bayangkan seseorang itu mencuri, kita kata biarlah dia mencuri sebab dia tak dak makanan, maka akan ramailah akan menjadikan mencuri itu satu profesion, sedangkan kaedah "mencegah itu lebih baik dari mengubati" kita tidak ambil kira sebelum sesuatu perlanggaran kepada undang-undang sama ada Akta ataupun Enakmen itu boleh menyebabkan kedaulatan undang-undang itu tercabar dan keluhurannya dipertikaikan.

Kita rakyat Malaysia yang jiwanya bebas merdeka, seharusnya kita tidak berada ditakuk pra merdeka dimana pemikiran masih dijajah bahawa apa yang dibuat oleh penjajah itu semuanya baik, tetapi kita dikurniakan Allah akal fikiran yang sempurna untuk mentakwil sesuatu dengan waras dan sebaiknya.

Selagimana undang-undang itu wujud dan berkuatkuasa, kita sebagai pencinta keadilan dan kedaulatan undang-undang seharusnya menyokong sebarang tindakan agensi penguatkuasaan untuk memastikan kedaulatan dan keluhuran undang-undang itu dapat dilaksanakan.

Pertimbangan sebijaknya harus diutamakan dalam menilai sesuatu tindakan, agensi penguatkuasaan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, kita sebagai rakyat seharusnya menghormati undang-undang dan tidak menjadikan diri kita lebih tinggi dan besar dari undang-undang itu sendiri (above the Laws).

Belajarlah dari fakta sejarah dan kesilapan kita yang lalu, kita menghentam agensi pengutkuasaan sehinga akhirnya mufti yang terlibat dipecat kerana menjalankan tanggungjawabnya menguatkuasakan undang-undang itu sendiri, kita menyokong kebenaran bukan sokong yang membawa rebah, Kebatilan tidak akan dapat ditegakkan di atas Kebenaran, rasional dan bukannya emosional, nescaya neraca pertimbangan kita akan seimbang dan kita dapat melihat Kebenaran di situ.

Sebagai peguam yang terlibat mengendalikan banyak kes jenayah, penulis sangat terkesan bagaimana pihak penguatkuasaan seperti PDRM, Agensi-agensi penguatkuasaan Jabatan-jabatan Agama negeri, bekerja keras di saat kita tidur mereka berjaga menjalankan operasi, disaat kita sedang sedap beradu dengan isteri, mereka berjaga dan beradu dengan nyamuk dan langau untuk menjalankan operasi penguatkuasaan, apabila operasi penguatkuasaan dilaksanakan kita kutuk mereka, kita hentam mereka, kita caci mereka, kita tembak mereka, tidak ada sekelumit ucapan terima kasih kita kepada mereka kerana mengorbankan masa dan tenaga hatta nyawa mereka untuk memastikan pengutkusaan undang-undang dapat dilaksanakan.

Sedih dan pilu sungguh keadaan sebegini jasa dibalas tuba, madu dibalas racun, sehinggakan mereka jadi tawar dan tidak bermaya untuk menjalankan tanggungjawab dan kerja mereka. Kita sudah cukup matang untuk menilai yang baik dan yang buruk, kita bukan kanak-kanak yang bukan mumaiyiz yang tidak dapat menilai antara susu dan nila, tapi pemikiran dan tindakan kita seumpama itu yang meletakkan semua kesalahan, apa-apa yang tidak elok dan tidak baik kepada agensi penguatkuasaan.

Marilah kita menuju bahtera perubahan dengan mentajdid minda kita, bahawa penguatkuasaan itu sebahagian dari undang-undang dan tindakan agensi-agensi penguatkuasaan itu selaras dengan peruntukan Akta dan Enakmen yang diperuntukkan oleh Undang-undang kepada mereka, justeru sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan jangan kita riuh rendah mengganggu kerja dan tanggungjawab mereka, sedangkan kerja kita pun tak terlaksana, kita asyik menyalak menyalahkan agensi-agensi penguatkuasa dalam tindakan mereka.

Salam perubahan dan tajdid minda ke arah MALAYSIA BARU yang SEJAHTERA.

Alor Setar, Kedah.

Sunday, November 1, 2009

Kasih sayang membentuk seni kekeluargaan yang utuh

Oleh: Mohd. Fikri Bin Abd. Rahman

Pena ini ligat meneruskan pengembaraan meneruskan titipan kasih episod lalu lantas kugerakkannya mengembara ke dalam ruang nadi seni rumahtangga seterusnya iaitu kasih sayang rukun berumahtangga.

Kala teringat suatu ketika mengendalikan satu kes pertikaian rumahtangga di antara dua anak muda yang pernah seketika dulu menzahirkan kata cinta sehidup semati, lautan api sanggup direnangi, gaung yang dalam sanggung diterjuni, berkorban kasih apa sahaja tatkala perasaan kasih cinta memutik segar mewangi sedari zaman persekolahan hinggalah ke alam menara gading.

Ku dikhabarkan mereka diibarat merpati sejoli, bak pinang dibelah dua, bak belangkas terpaut rapat tanpa renggang, bak laila dan majnu, bak shah jehan dan isterinya hatta kasih rapatnya mereka berdua Tuhan sahaja yang mengetahuinya. Tapi itu semua dulu ketika cinta, kasih dan sayang sedang mewangi subur di jiwa keduanya.

Tersedar dari lamunan mereka, kenapa dan mengapakah perasaan cinta, kasih dan sayang yang terpatri antara mereka sudah lebur bak lava gunung berapi yang bakal memuntahkan segala isinya di pergunungan Krakatoa pantas memusnahkan segala isi penduduknya.

Ku selami perasaan keduanya, ku belah hati mereka, ku teropong perasaan kasih keduanya dan kutersedar ada sesuatu yang tak kena antara mereka lantas nyawa dan usia perkahwinan yang mahal itu seolah-olah berada dihujung senja.

Ku sederap mentakwil latarsejarah keduanya lulusan menara gading, menyebabkan gajah-gajah dihutan keberangan dek kerna habis gading-gading di bawa ke menara, ketemui kudis yang sedang merobak, lendir nanah yang sedang mengalir di dalamnya semua itu dek kerna mainan dan godaan syaitan menjiwa di hati anak cucu tok Adam.

Aku termenung dan termanggu seketika, kulihat sang isteri dengan bongkaknya menuntut suatu pemutusan terhadap ikatan suci ini dari sang suami sedangkan jika ditenung kemanakah hilangnya seri dan cacatnya rentak tari rumahtangga tersebut, panggilan sayang, kekanda, adinda, hubby, yang…, dan lain-lain perkataan yang kadang-kadang memualkan halua telinga insan lain mendengarnya sudah tak bisa kedengaran lagi apa yang ada panggilan kata nista dan makian serta cercaan mengiringi hubungan dingin bak salju keduanya hinggakan tega sang isteri melarikan diri dari gapaian sang suami dek kerna perasaan nafsu amarah yang memuncak dan menunggu masanya untuk dimuntahkan laharnya.

Aku teringat kisah Muhammad yang teragung berkasih dan bercinta dengan isteri-isteri Baginda. Terngiang ditelingaku kasih Muhammad yang tulus dan mulus buat Khadijah tercinta dibawa sehingga akhir hayat Baginda. Istimewakah Khadijah? Tiada cacat celakah Aisyah? Hebatkah Rukhayyah? Tiada kelemahankah Ummul Mukminin yang lain?

Sudah tentu jawapan ini terungkai buat mereka yang senantiasa mendalami dan menghadami kisah hidup para isteri Baginda semuanya hidup penuh berkasih sayang dengan seorang insan yang sangat tinggi makamnya di sisi Tuhan semesta alam ini.

Ku redah belukar yang menghutan didepan kamar mataku, kutebang dan kucantas segala pepohon ammarah yang mencengkam didepannya, kuterjumpa desa nun jauh dalamnya tinggal di sana sepasang kekasih tua yang setia menemani, bersusah dalam senang, bersenang dalam kepayahan, sedang menyangkul di sawah yag luas terbentang.

Kuputarkan teropong saktiku, terlihat situa itu sedang menyangkul tekun dengan tulang empat kerat yang masih gagah kukira mengalahkan simuda berusia dua puluhan. Kuternampak si isteri tersenyum tawa melihat sang suami bekerja disawah sambil mengendong bekalan untuk dijamah suami tercinta menghilangkan haus di dada dan lapar bekerja.

Ku panjangkan teropongku menyaksikan adegan-adegan asmara yang sangat kucemburui pabila melihat keduanya walaupun sudah meniti usia di kala senja, Mak Teh denga tega menyuap mulut suami tercinta pulut tanak bersama ikan tamban kering dicecah dengan nyior makanan kesukaan Pak Mat. Mak Teh enggan membenarkan suaminya menjamah makanan yang bukan hasil air tangannya. Mak Teh tak merasa segan silu menyulurkan tangannya yang dah berkerepot untuk menyuap suaminya dengan makanan yang dibawa. Diisikannya teh panas di dalam termos dengan penuh hati-hati ke dalam gelas plastik yang dibawa bersamanya untuk diteguk oleh Pak Mat moga-moga hilang hausnya dek kerna terik mentari yang memancar.

Pak Mat kulihat tanpa segok memegang, mengusap dan membelai penuh kasih sayang jari jemari Mak Temah yang berkerepot pantas diucapkan kata-kata sayang buat isteri tercinta meskipun dalam keterikan mentari yang memancar keduanya, mujur ada pondok buruk ditepi sawah bagi berteduh melelapkan penat bekerja seketika.

Kuekori lagi adegan-adegan mereka setelah Pak Mat sudahkan kerjanya, Pak Mat pulang membonceng dibelakangnya Mat Teh dengan Honda C70 yang dah berusia satu-satunya kenderaan “mewah” yang Pak Mat punya, kulihat tangan Mak Teh melingkar rapat pinggang Pak Mat bukan takut dia terjatuh, tapi takut suaminya terlepas dari pelukan kasihnya.

Setibanya di pondok Pak Mat, Mak Teh kulihat tergocoh-gocoh berlari naik tangga-tangga pondok terus ke dapur menanak nasi untuk dijamah oleh suaminya nanti, tangkas langkahnya meskipun kulihat usianya sudah tua lagaknya. Melepaskan lelah seketika, kulihat ke mana langkahnya ooo… rupanya ke bilik air dibelakang rumah untuk membersihkan lumpur tanah yang meliputi tubuhnya tatkala bersama membanting tulang bersama suami tercinta di sawah.

Mak Teh dilihat terus meluncur ke biliknya menyiapkan diri buat suami dengan wangian semerbak harumnya, ditempek budak sejuk dengan sempurna seolah-olah dipakainya one drop perfume ditubuhnya, turun ke dapur mengeluarkan ikan kering dari atas para yang disusun rapi, lalu dicapainya beberapa butir cabai Melaka dan cabai merah untuk dijadikan cabai tumbuk santapan buat pengiring buat suaminya.

Tak lupa Mak Teh menguis-nguis nasi di atas dapur kayunya takut-takut hangit dan berkerak menyebabkan suami hilang selera. Sudah siap segalanya, bergegas turun ke pelenggar di bawah pokok mengejutkan suami tercinta bangkit dari lamunan keletihan kerja untuk sama-sama menikmati hidangan air tangannya yang tersedia. Ohh…indah sungguh hidup ini kalau kupunyai isteri persis Mak Teh yang amat menyayangi suaminya.

Digapai tangan suaminya dengan penuh perasaan kasih, pembuka bicara, disuapkan Pak Mat butir-butir nasi ke mulut isterinya dan dibalasnya Mak Teh tindakan serupa. Terpancarlah senyuman mesra kedua-duanya puas rasa lega kasih terbina sejak 60 tahun yang lalu segar bugar mewarnai hari-hari tua mereka.

Aku tersedar dari lamunan, itulah cebisan kisah cinta Pak Mat dan Mak Teh yang terungkap dan sempat kuceritakan buat semua bagi mentafsilkan kasih cinta dan sayang sebagai seni rumahtangga…

Kalaulah anak muda yang kuceritakan di awal tinta ini melihat keajaiban kasih cinta Pak Mat dan Mak Teh, sudah tentu mereka faham apakah seninya rumahtangga yang terbina atas kasih dan cinta bisa mengikat utuh ikatan perkahwinan mereka selama-lamanya.

Kan kuteruskan pengembaraan ini dalam episod yang akan datang merungkaikan seni berumahtangga yang selanjutnya. Moga-moga Allah Taala memanjangkan usia kita…



Wednesday, October 28, 2009


Senyumlah Wahai Syuhada'

Wahai para syuhada' mangsa kekejaman regim yang rakus dan kejam, sesungguhnya kau pergi dengan jiwa yang tenang, di sana syurga menantimu dengan penuh kegembiraan akan janji Tuhan, dan engkau redha dgn Tuhanmu bahkan Tuhanmu redha untuk menerimamu.
Rumahtangga dan Seninya

Kugerakkan kalam ini menitipkan sinambungan bicara yang lalu.

Kumelihat pergolakan rumahtangga dasawarsa ini bukan sahaja terpalit pada mereka diusia senja bahkan mereka ditahun jagung turut jua terpalit dengan krisis ini.

Keterlibatanku sebagai pengamal undang-undang sivil dan syarie, terpanggil mengendalikan kes-kes kerencatan rumahtangga yang boleh kuandaikan bak dihujung tanduk, menanti rebah tersungkur ke bumi dek kerna hambatan ribut taufan kencang yang melanda.

Pokoknya, mengapakah krisis ini sering berlaku, hilangkah sudah kasih sayang yang terbina di alam percintaan suatu waktu dahulu, mungkinkah wujudnya “pengacau” yang hadir meng’hawarkan’ dan meng’harubirukan’ kerukunan rumahtangga itu, mungkinkah jua kecetekan ilmu adanya camputangan ibubapa dan mertua yang gagal membimbing anak menantu dalam menghadapi saat kecemasan ini.

Pena ini merasakan bukan ahli yang selayaknya dalam menafsilkan apa yang berlaku, sebagai manusia yang terbatasnya ilmu dan persis dikurniakan akal dan wahyu sebagai panduan dalam melayari bahtera rumantangga, masakan kita bisa melupakan detik-detik nan indah sebelum dan dalam tempoh perkahwinan itu.

Kalam ini pernah mengendalikan pelbagai kes permohonan cerai dari sang istri kepada sang arjunanya alasannya tiada lagi persefahaman dalam rumahtangga, kuhadir sebagai pengacara (peguam syarie) dipihak sang suami dan ada masanya dipihak sang istri, aku melihat, merasai dan menghadapi saat-saat getir sang suami dinafikan hak untuk mendambakan kasih anak-anak tercinta, kulihat sang istri ditinggallkan tergantung tak bertali oleh sang suami yang durjana, dan ku melihat nasib masa depan anak-anak yang kian suram, apakah JADAHnya ini semua? bukankah semua ini tercerna dari kelompongan rumahtangga itu mempamirkan tiadanya seni berumahtangga yang mewarnai dan mengulit rapat kerukunan rumahtangga itu.

Teropong ajaib ini aku putarkan 360darjah menelusuri sirah Nabawiah, lupakah atau sengaja dilupakan bahawa Kekasih tercinta Muhammad Al-Amin seorang pencinta yang agung, suami yang terbaik lagi penyayang, bahkan sirah Baginda SAW jika kita terobosi, hadami dengan sebaik-baiknya nescaya kita kan menjadi pengikut Baginda yang setia.

Baginda sebaik-baik teladan dalam berumahtangga, Baginda ketua keluarga yang setia mendidik, mentarbiah dan membimbing ahlinya, namun kita yang jahil murakab ini terlalu sombong dan bongkak untuk mengambil petunjuk teladan Baginda, kita agungkan insan lain melebihi sunnah Baginda, lantas jadilah kita sebagaimana kita, hanyut di teratai yang layu tanpa panduan wahyu….

Apa yang ada dalam kotak pemikiran kita bila mendengar Baginda pernah mandi bersama isteri-isteri, tegakah kita berbuat sedemikian menzahirkan kasih dan cinta kita buat pasangan kita, pernahkan mendengar Muhammad berlumbaan dengan isterinya, terkadang sengaja dibiarkan isterinya menjuarai, pernahkan terdengar Muhammad memanggil isterinya dengan panggilan yang sangat manja persis Humaira’ (sipipi yang merah) membuat si Aishah R.A yang manja itu tak keruan jadinya dan tersipu-sipu malu dek kerna panggilan itu, kalau nak dititipkan ‘qasais’ kasih sayang Baginda memang terlalu sukar pena ini untuk luahkan bahkan segala yang hebat yang pasti ada pada Baginda.

Lantas untuk apa semua ini pada kita, bagi mereka yang benar-benar memahami kehendak dan ‘ibrah’ yang diterapkan oleh Baginda, itulah seni dalam keluarga yang dipancarkan Baginda melalui perbuatan dan perkataan Baginda.

Kucuba lontarkan pada pembaca yang budiman perbincangan kesenian dalam berumahtangga yang mungkin tanpa kita sedari atau alpa dan tidak pernah cuba untuk mengamalkannya dalam kehidupan kita.

Penaku yang kerdil ini cuba untuk mengupas beberapa pedoman dan bimbingan sebagai peringatan kita bersama, teladan Baginda yang agung dilestarikan dengan pedoman orang-orang tua yang meng’garam’ terlebih dahulu sebelum kita.

Kumulakan langkah seniku dengan yang pertama “Persefahaman” dalam berumahtangga, mungkin bagi setiap pasangan punyai pengertiaan yang berbeda tentang hakikat dan makna persefahaman, tapi yakinilah ini adalah faktor utama perceraian di mahkamah syariah kita. Sang istri tampil ke hadapan Qadhi (Hakim Syarie) mewar-warkan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Kulanjutkan bicaraku untuk menghuraikan apakah persefahaman sebenarnya menurut hakikat bahasa itu sendiri. Ada yang mengatakan bahawa tiada persefahaman bila sang arjuna sudah hilang sayangnya atau enggak memperdulikan sang istri, pudarnya talian komunikasi, tidur tak sebantal, makan tak bersuap, mandi tidak sekain, sang arjuna gagal sempurnakan tanggungjawab batinnya, semua ini lontaran dari sebab-sebab tiadanya persefahaman dalam keluarga.

Kunyalakan lantenku untuk menerobos puncanya terjadinya dan hilangnya seni kekeluargaan ini, aku terdetik bagaimana Muhammad punya lebih dari empat orang istri biss mengimbangi, membimbing dan mentarbiah semuanya dengan cemerlang, ku jua melihat Pak Akob di kampung ku kira sudah menjangkau usia senja 70 tahun masih bisa hidup tersenyum kerenyeh menjamah kopi “o” pekat dan cucuq kodok Mak Temah yang giginya sudah tidak bisa mahu menetap tinggal digusinya.

Kenapa dan mengapa Pak Akob dan Mak Temah punyai seramai 10 orang anak-anak yang telah berjaya menjadi doktor, peguam, jurutera, guru dan lain-lain masih bisa terus hidup dalam kerukunan rumahtangga yang harmoni walaupun Mak Temah bukannya bidadari umpama “Cleopatra” tapi kasih dan cinta Pak Akob tulus mulus dan kudus buat istrinya tercinta.

Aku termanggu dan terkedu untuk menitipkan kisah Pak Akob dan Mak Temah nun jauh di desa yang terperok jauh dari hiruk pikuk kota, tidak pernahkan Pak Akob bermasam muka dengan Mak Temah? Tidak pernahkan Mak Temah merajuk kepada Pak Akob? Tidak pernahkan Pak Akob lancar mengucapkan lafaz kata talak berbisa buat istrinya? Jawapannya Tidak, Tidak dan Tidak.

Tapi aku bingung resepi dan ramuan apakah yang dipakai Pak Mat dan Mak Temah dan seni rumahtangga mereka terlalu utuh hatta tidak rebah dek dilanda taufan yang kencang, tidak rebah dek gempa bumi pada kadar 6.8 skala rechta, apa semua ini, aku bingung, kaget persis orang asli jakun melihat ketinggian KLCC nun menjulang tinggi tak tercapai dek gapaian tangan keawan tapi jawapannya ya itu pasti apa yang kucari KESENIAN dalam BERUMAHTANGGA.

Pak Akob tidak mengalungkan Mak Temah segala kemewahan dunia, emas dan permata dari hujung rambut hingga ke hujung kaki persis Mami Jarum, Pak Akob tidak mewarnai Mak Temah dengan kilauan intan berlian, tanah berelong-relong luasnya, pakaian yang bergemilapan warnyanya, bahkan persalinan Mak Temah cukup ala kadar setiap kali menjelang Hari Raya Pak Akob hadiahkan sepersalinan yang dibeli dari kedai Ah Kow di pekan di kaki bukit itu.

Mak Temah tidak pernah mendambakan selain dari kasih yang tulus, mulus dan kudus dari suami tercinta, bahkan Mak Temah sang setia yang sedia menemani suami tercinta dalam susah dalam duka walaupun Mak Temah bukannya pemegang B.A, M.A atau Phd seperti kita.

Kisah hidup Pak Akob dan Mak Temah juga sangat indah, Pak Akob bukan orang yang berada, bahkan tanah sekangkang kera itulah dia membesarkan sepuluh insan yang kini berjaya menjadi manusia yang sempurna. Mak Temah pula membantu Pak Akob menjaja kueh-mueh sekitar kampung menampung belanja suami di dapur, tapi aku kaget bagaimana keduanya mampu meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan dalam penuh ketenangan.

Kucari-cari satu persatu kuselak helaian demi helaian kisah hidup Pak Akob, kuterjumpa apa yang kuungkap sebagai SENI RUMAHTANGGA, Pak Akob hanya sorang tua yang serba kekurangan tapi pergantungannya dengan Tuhan segala isi dunia ini sangat kudus, kulihat anak-anak dididik didikan agama yang sempurna sedari 7 tahun, dihiasi diri mereka nur Al-Quran, dibasahi lidah mereka zikir Lailahaillah, diruntuni jiwa mereka dengan inti anak soleh, dibajai hati mereka rezeki yang halal, dan dipasakkan hati nurani mereka kasih sayang cinta kepada Allah dan Rasul mengatasi segala-galanya.

Sekarang baru kufahami apakah erti seni kekeluargaan itu, bahkan aku sangat mendambakan seumpanya hidup subur mewangi di dalam ahliku moga-moga kisah Pak Akob menjadi nadi yang berdenyut kencang dalam urat sarafku dan memberi kekuatan padaku membentuk sebuah keluarga yang sakinah di dunia dan akhirat.

Akan kuteruskan pengembaraan ini untuk menjelaskan seni kekeluargaan yang selanjutnya dalam edisi pertemuan kita yang mendatang, moga-moga dipanjangkan usia untuk kita ketemuan….


Akhukum fil Islam

Mohd. Fikri Bin Abd. Rahman @ matpikiaq77
Tinta ini kumulakan dengan lafaz salam yang mulia,

Sebelum pena ini tuntas untuk melakarkan kata bicara, aku termanggu seketika memikirkan apakah yang hendak dikongsikan dengan rakan-rakanku pabila ditaklifkan oleh Pak Lan untuk menyajikan rakan semua dengan resipi minda dan jiwa berkisar dengan bicara kekeluargaan (baitul muslim), kesenian dan perundangan untuk dihadamkan bersama pembaca blog ini.

Setelah berhempas pulas memerah minda maka tergeraklah pena ini menukilkan sesuatu yang aku kira bisa untuk dikongsikan dengan salam bicara salam permulaan satu topik yang agak santai tapi perlu direnungi bersama oleh kita.

Aku kira semua di antara kita telah pun mempunyai pasangan hidup dan cahayamata yang amat kita sayangi, lantas kukira apakah peranan dan tanggungjawab kita bagi melestarikan kehidupan berumahtangga ini agak tepat dan sejajar kehendak syarak.

Mungkin kita mempunyai latarsejarah yang berbeda, namun kita hadir dari tanah dan jasad yang sama kelestarian hidup manusia sejak zaman Tok Adam A.S dan isteri tercinta Hawa A.S, lantas kenapa perlu kita hidup berkeluarga dalam nilai-nilai serta norma-norma agama yang hanif dan perlu diulitkan dengan sewajarnya membentuk suatu keluarga yang solehah “Baiti Jannati”.

Mungkin ada di antara kita bisa menafsirkan nukilan ini cuba mencari kesalahan dan kelemahan orang lain, namun yakinlah dengan ikhlas hati demi Agama yang suci ini, penulis tidak tercuit apa-apa perasaan dan sifat mazmumah yang seumpama untuk berbuat sedemikian bahkan nukilan dari pena yang kerdil ini hanya untuk mauidzah kita bersama dalam melayari bahtera rumahtangga yang sama-sama terbina atas dasar kasih, cinta dan amanah kita kepada Qadhi Rabbul Jalil.

Ala kulli hal apakah tujuan kita berumahtangga? Pelbagai tafsiran dan jawapan mungkin dapat menghuraikan persoalan ini, mungkin ada yang berkata untuk mendapatkan zuriat, mengawal dan melampiaskan nafsu syahwat, kerana cinta dan sayang, cuba renung sejenak adakah di antara kita berumahtangga dengan satu tujuan “mendapatkan redha Allah dan menunaikan tanggungjawab Agama”, benar kata Junjungan Besar SAW “Nikah itu sunnahKu, barangsiapa yang melaksanakannya dia adalah dikalanganKu”.

Pena ini cuba menerobos lagi kedalam titik perbincangan di atas, adakah cinta, kasih dan sayang itu tiket utama mendapatkan kebahagian dalam berumahtangga?

Mungkin ada yang berkata YA, dan bagi mereka yang agak mendalam penafsilannya mungkin berkata jawapannya TIDAK. Rasionalnya kebahagian itu milik Tuhan segala isi dunia dan bumi ini, bahkan tidak terkecuali sesuatu di dalamnya dalam ilmu pengetahuan-Nya.

Jadi untuk pertemuan pembuka bicara, cukup kadar ini kuutarakan dan akan dikupas dengan lebih mendalam sambungannya pada sambungan pertemuan kita yang mendatang dengan keizinan-Nya dengan bicara “Kesenian dalam Berumahtangga”.

Akhukum fil Islam,

Mohd. Fikri Bin Abd. Rahman @ matpikiaq77